Tuesday, June 3, 2008

Subsidi Petrol, Sampai Bila?



Mulai semalam kerajaan telah melarang penjualan petrol kepada warga Thailand dan Singapura. Memang tidak dapat dinafikan, kerajaan telah memberi subsidi yang besar kepada rakyat terhadap bahan bakar tersebut selama ini. Ini menyebabkan warga asing sentiasa mengambil kesempatan terhadap bahan api yang murah ini berbanding dengan negara mereka. Ini menyebabkan kerajaan seolah-olah memberi subsidi kepada warga asing yang menggunakan kenderaan sendiri semasa melancong atau berurusan di negara kita.

Tujuan kerajaan memberi subsidi petrol adalah baik, untuk mengurangkan beban perbelanjaan rakyat. Tetapi kehadiran warga asing, menyebabkan subsidi yang sepatutnya hanya untuk dinikmati oleh rakyat negara kita, turut dinikmati oleh warga asing.

Walaubagaimanapun, selama ini hanya golongan tertentu sahaja yang menikmati subsidi petrol secara optimum. Pengguna yang menggunakan kereta yang besar, tentu sekali menerima subsidi yang begitu besar dari kerajaan. Sedangkan rakyat miskin yang hanya mampu menunggang motosikal, hanya sedikit sahaja nikmat yang diterima dari subsidi tersebut.

Larangan penjualan bahan api kepada warga asing telah menyebabkan pengusaha stesyen minyak di sempadan mengalami kekurangan pendapatan disebabkan kekurangan pelanggan.

Walaupun kerajaan sedang merangka mekanisma harga bahan api, cadangan dari Datuk Ghafur Salleh, MP dari Sabah perlu diambil perhatian. Beliau mencadangkan agar subsidi petrol ditarik balik dan harga semua bahanapi dijual mengikut harga pasaran dunia. Untuk mengurangkan beban kepada rakyat yang miskin, kerajaan boleh menyalurkan bantuan dalam bentuk wang tunai untuk meringankan beban rakyat yang miskin.

Walaupun cadangan ini mungkin mendapat tentangan segolongan rakyat yang berkemampuan atau pun seakan-akan mirip memenuhi janji PR dalam kempen PRU mereka ke arah negara kebajikan, sekurang-kurangnya ini dapat mengelakkan pemberian subsidi kepada orang yang tidak memerlukan.

Untuk ketelusan, tentu sekali institusi penghulu boleh digunakan untuk mengenalpasti rakyat yang layak menerima bantuan dan jangan lupa paparkan nama penerima-penerima bantuan ini di pejabat daerah, agar rakyat tidak tertipu dengan pemberian bantuan kepada kroni-kroni yang tidak layak untuk menerima bantuan.

1 comment:

kulaan said...

Nak senang kena jadi YB...sign masuk duit potong reben masuk duit pi ceramah masuk duit